"Cikgu, saya rasa saya tak boleh bawalah sebab rasa macam berat sangat," kata aku kepada Cikgu Nazim dan Cikgu Raof. Dua orang insan yang sangat aku hormati dalam kalangan cikgu-cikgu yang berada di Sekolah Tun Abdul Razak. Aku tahu yang Cikgu Nazim ni tak boleh pakai kerana selalu kencing ramai pelajar dalam kelasnya. Aku tak tahu kenapa dia berkelakuan bangang seperti itu. Dari situ aku belajar yang cikgu itu hanya manusia biasa, mereka bukan nabi.
"Kamu boleh buat punyalah, cikgu percaya," Kata-kata Cikgu Raof memberi semangat pada aku yang pada ketika itu hanya berbekalkan semangat untuk menjadi pengakap raja pertama dalam tempoh beberapa belas tahun sekolah aku tidak dibintangi seorang pengakap raja.
"Saya dah penat la cikgu, banyak dah saya buat tapi apa pasal rasa tak cukup lagi ni cikgu?"
Pengakap raja adalah anugerah yang tertinggi dalam ilmu kepengakapan yang diberi kepada seorang individu yang berumur kurang dari 17 tahun. Anugerah itu diberi oleh sultan negeri yang diduduki. Sijil pengakap raja itu ditandatangani oleh semua sultan dalam Malaysia ini dan diberi kepada individu yang berjaya menjalani pelbagai ujian untuk ke tahap itu.
Antara ujian yang pada aku mengarut adalah perkhemahan yang banyak tak terkira. Aku cerita sikitlah pasal perkhemahan yang aku maksudkan. Masuk sekolah menengah secara automatik akan masuk unit Pengakap Muda. Masa itu korang akan menjalani perkhemahan sijil usaha dalam sekolah selama dua hari satu malam kalau tidak silap. Kemudian ke tahap seterusnya iaitu lencana maju dan jaya. Kedua perkhemahan itu dianjurkan persatuan pengakap daerah masing-masing. Selepas habis lencana jaya, individu akan memakai rambu pengakap muda, hijau warnanya. Maka habis dalam unit Pengakap Muda.
Masuk pula dalam Unit Pengakap Remaja, Ambil lima lencana tertinggi. Dari lima itu, rasanya dua yang perlu berkhemah iaitu lencana ekspedisi dengan lencana kemahiran. Tapi biasanya dirumpunkan semua itu dan buat semasa kem pra-pengakap raja anjuran persekutuan pengakap daerah.
Kesemua buku log untuk sampai perkhemahan pentarafan pengakap diraja aku rasa dalam 11 yang wajib dan enam elektif. Ada 17 semuanya. Buku nota sekolah aku pun tak sampai 17. Palat rasanya nak siapkan semua buku itu. Semua perkhemahan yang aku kata itu ikut persekutuan pengakap daerah tempat korang duduk itu.
Contoh sijil pengakap raja |
"Macam mana nak siapkan semua ini cikgu? Kem pra pengakap raja minggu depan, konfem punya tak siap cikgu,"
"Kamu buat setakat kamu mampu," Kata Cikgu Nazim memberikan aku semangat.
Dalam minggu itu aku bertungkus-lumus menyiapkan buku log yang diminta. Aku tak dapat siapkan apa yang disyaratkan sebelum kem pra-pengakap raja daerah. Rasa bersalah pula rasa untuk melangkah gerak ke kem itu.
Aku terpaksa juga pergi selepas didesak oleh Cikgu Raof. Aku tahu aku membawa nama Sekolah Menengah Tun Abdul Razak Selekoh atau lebih popular dengan STARS. Walaupun bukan seperti STAR Ipoh, tapi aku bangga bawa nama sekolah aku.
"Cikgu, saya takutlah," kata aku pada Cikgu Nazim. Hanya Cikgu Nazim sahaja aku dapat meluahkan perasaan gusar aku kerana Cikgu Raof itu sangat tegas dan garang. Mungkin kerana beliau merupakan cikgu disiplin sekolah, terpaksalah membawa perwatakkan begitu.
"Takda apalah, perasaan kamu tu berkecamuk mungkin sebab tak biasa pergi kem macam ni,"
"Ape cikgu merepek? Dah berapa banyak kem dah saya lalui, takda maknanya kem kali ini saya kecut perut," kataku kepada Cikgu Nazim sambil memunggah segala keperluan berkhemah peserta sekolah aku yang turut bersama mengikuti kem lencana maju dan jaya sekali. memang jadi rutin untuk pengakap daerah tempat aku untuk mengumpulkan kem maju, jaya dan pra-pengakap raja sekali gus.
Malam itu aku rasa tak sedap hati seperti akan ada sesuatu yang tidak baik akan berlaku. Maghrib berlalu dan peserta muslim dikehendaki berada di dewan untuk sesi tahlil ringkas dan bacaan yassin bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini terjadi.
Sebelum masuk waktu Isyak kira-kira dalam pukul 8.45 malam, aku lihat pengakap raja, abang dan kakak unit Kelana yang menjadi pembantu daerah berlari-lari kesana kemari. Apa yang diresahkan aku tidak tahu. Serentak itu, aku dengar satu jeritan datang dari arah tempat masak di sebelah dewan makan pemimpin daerah.
Kami terkejut. Tidak semena-mena kami jadi panik, lampu dewan kelip-kelip tiba-tiba dalam dua hingga tiga minit. Satu bau kurang senang mula menusuk dalam hidung aku pada waktu yang sama....
(Bersambung...)
No comments:
Post a Comment