22 Feb 2013

Mungkin jin atau aku tak cukup tidur? #Cerkon


Aku tak tidur malam tu kerana menyiapkan gadjet-gadjet dalam tapak kem. Rasanya aku sempat lelap dalam 1 atau dua jam. Hakikatnya lama gila. Aku bangun pagi tu aku tengok ada yang dah siap pintu gerbang, semua. Aku jadi panik sebab bivuovac aku tak siap lagi. Aku tengok Aik Kian, Tuck Man dan ramai lagi baris calon pengakap raja dah siap. Aku?



Pemeriksaan pagi dilakukan dengan pantas pagi itu. Aku kemaskan tapak kem, menyusun barang-barang dan mengosongkan beg. Ala-ala tentera punya pemeriksaan. Aku rasa pada saat itu aku adalah seorang bangang berpakaian lengkap pengakap berdiri bagai orang bodoh depan pondok buruk. Itu semua aku rasa selepas aku melihat tapak kem orang lain teratur dan kemas.

Lagi parah apabila bivouac yang aku buat itu beratapkan batang pisang atas ikhsan jiran sebelah tapak kem aku. Asalnya aku memakai buluh sahaja. Bangangnya rasa. Satu persatu tapak kem idividu seluas 10 kali 10 kaki agak-agak aku itu diperiksa. Mula dari hujung sekali. Aku kira-kira aku adalah orang terakhir diperiksa pagi itu untuk bakal pengakap raja. Kem kami jauh sedikit daripada kawasan kem lencana maju dan jaya.

Lagi takut bila aku tengok tapak kem pertama didatangi oleh 2 orang pembantu daerah membawa sebaldi air untuk menguji kekukuhan atap bivouac. Syarat utama dalam kawasan kem kami mestilah 90% daripada alam. Itu antara mengapa aku tidak menggunakan kanvas sebagai atap aku. Calon pengakap raja dikehendaki baring atas bivouac dambil berdoa air tidak keluar banyak menimpa mereka.

Sampai tapak kem aku, seperti yang dijangka aku lenjun kerana atap yang aku buat hanya menahan lebih kurang 20% sahaja dari air yang dicurahkan. Lenjun. Itu yang aku boleh katakan.

Aku adalah antara yang terakhir diperiksa pagi itu. Apabila semua ahli kem berkumpul di tapak berkumpul untuk istiadat pagi, aku yang paling lambat sampai. Kenapa lambat sampai? Kerana aku basah. Oh yeah.... Malunya.

Selepas itu kami ada aktiviti ujian sistem bes atau 'Base System Test' yang mana setiap checkpoint akan dibahagikan kepada pemimpin yang dikehendaki menjalankan ujian kawad kaki, kawat tongkat, pertolongan cemas, orienteering, ikatan dan lain-lain. Semua ujian berbentuk praktikal kerana ujian teori malam tadi sudah dilaksanakan. Checkpoint akan berubah apabila wisel ditiup.

Aku tiada cerita menarik untuk dikongsi pada masa itu kerana pada sebelah pagi, hanya aktiviti itu sahaja kami lakukan. Selepas solat Zohor, aku terpaksa untuk menyerahkan model menara yang telah siap diikat kepada Tuan Arol untuk diperiksa dan diberi markah. Terus terang aku katakan yang model menara yang aku ikat semuanya tidak kemas dan rupanya sangat teruk pada aku. Walaubagaimanapun, aku tetap memberikan kepada Tuan Arol.

Sebelah petang kami ada aktiviti backwood cooking. Acara masak memasak secara alamiah. Ini tidak berapa aku gemari sebab aku tak reti memasak. Kami dipanggil untuk berkumpul, dihadapan junior sekolah aku, model menara aku dilempar. Brengsek punya Arol. Nasib baik ikatan aku kemas dan kukuh, tak terburai. Bangga sekejap depan junior aku.

Apa yang menarik yang berlaku untuk hari itu adalah pada sebelah malam. Ramai yang tidak lepas ujian bes siang tadi, jadi pada malam itu, ramai kena ulangi sistem bes mereka. Aku pun tidak terkecuali mengikut.

Aku pergi ke checkpoint kawad tongkat. Chekpoint itu diantara kawasan surau dengan dewan. Kawasan disitu gelap dan cuma diterangi oleh cahaya samar-samar dari surau dan tapak kem. Aku tak sedap hati malam tu.



Sedang aku tunggu giliran untuk diuji, aku duduk dibawah pokok mangga depan surau. Aku menyendiri kerana dalam 9 orang calon pengakap raja daerah Hilir Perak pada masa itu, hanya aku seorang sahaja Melayu. Ramai diantaranya Cina yang lebih gemar bergaul sesama mereka.

Aku kurang tidur malam semalam. Jadi aku duduk seakan-akan mahu tidur. Tiba-tiba aku terpandang jauh dalam lebih kurang tujuh kaki disebelah kiri ku satu objek. Objek tersebut tinggi lebih kurang 1 meter lebih agak-agak tinggi sedikit dari aku. Mula-mula aku ingatkan tiada apa-apa kerana objek tersebut hanya berdiri mengintai disebalik satu pokok kekabu besar. Mukanya tidak pula kelihatan. Aku biarkan sahaja.

Kemudian bunyi dedaun kering sedang dipijak sesuatu. Seolah-olah ada yang sedang memijak dedaun kering untuk menuju kearah aku.

Aku tenung lama objek itu. Lama-kelamaan objek itu melompat perlahan-lahan kearah aku. Aku dah agak, ini pocong. Ada dua ekor ditempat itu. Lama aku tenung yang seekor datang kearah aku tadi. Aku menunggu pocong tadi rapat. Aku nak tahu apa betul yang aku lihat ini atau sekadar gambaran minda separa sedar aku yang digabung dengan badan yang tidak cukup tidur.

Benda itu tak berani rapat sebab ada samar cahaya diantara aku dengan dia. Mungkin dia tak berani dekat kerana cahaya. Mungkin. Aku tenung lama juga untuk menanti mukanya. Tah kenapa aku rasa berminat untuk menunggu. Aku tidak berganjak walaupun sedikit. Dia berdiri dalam jarak tiga kaki dihadapan aku.

"Kalau dia datang lagi dekat, mesti punya aku lari," kataku sendiri. Dadaku berdebar sambil peluh menguasai ketiak dan dahi. Tanggan dan kaki aku sedia untuk berlari. Bunyi dedaun dipijak semakin hampir ketika itu. Apa aku nak tunggu dia depan aku baru nak cakap 'hai'?

Kemudian nama aku dipanggil. Selepas aku menoleh kepada tuan yang menjaga checkpoint itu aku lihat balik, dua ekor makhluk tadi tiada. Misteri betul.

PS: Semua gambar google je..

(Bersambung... Mungkin kali terakhir untuk versi kem batu 8 ini)

No comments:

Post a Comment